Special Sponsor

Thursday, January 11, 2007

Video terbaru mayat Saddam

BAGHDAD 9 Jan. – Sedutan rakaman video terbaru yang disiarkan menerusi Internet hari ini menunjukkan mayat Saddam Hussein dibiarkan di atas troli dengan kesan luka parah di lehernya.

Klip video selama 27 saat itu merupakan sedutan ketiga yang disiarkan menerusi Internet sejak bekas Presiden Iraq itu dihukum mati pada 30 Disember lalu setelah disabitkan atas jenayah kemanusiaan.

Rakaman itu menunjukkan selimut yang menutupi mayat dibuka dan mendedahkan keseluruhan mayat dengan tumpuan kepada pipi kirinya yang dipenuhi darah selain luka berukuran kira-kira 5 sentimeter di bahagian tekak disebabkan oleh kesan cengkaman tali gantung.






Suara seorang lelaki turut kedengaran ketika dia mendesak seseorang yang dipanggil ‘Abu Ali’ untuk mempercepatkan rakaman berkenaan.

Keadaan itu mungkin disebabkan pemilik suara tersebut sedar dia dan Abu Ali sedang melakukan sesuatu yang menyalahi peraturan.

Sebelum ini, kerajaan Iraq telah menyiarkan rakaman rasmi video yang menunjukkan Saddam menolak untuk dipakaikan tutup kepala sewaktu algojo memasang tali di lehernya.

Rakaman rasmi tersebut turut memaparkan bagaimana algojo-algojo itu memujuk Saddam untuk membenarkan mereka meletakkan sehelai kain hitam di lehernya sebelum mereka memasang tali gantung.

Bagaimanapun, rakaman video sewaktu hukuman gantung itu dilaksanakan tidak disiarkan kepada umum.

Stesen televisyen milik Parti Dawa yang diketuai oleh Perdana Menteri Nouri al-Maliki juga menyiarkan sedutan rakaman video menunjukkan Saddam terbaring di atas troli tetapi tidak menunjukkan bahagian leher Saddam yang luka teruk.

Bagaimanapun, satu rakaman video yang dirakamkan menerusi telefon bimbit berkamera telah disiarkan di Internet dan stesen-stesen televisyen Arab beberapa jam selepas hukuman itu dijalankan.

Rakaman selama tiga minit itu menunjukkan bagaimana beberapa orang yang dibenar menyaksikan pelaksanaan hukuman itu telah mengejek dan menghina Saddam.

Penyiaran sedutan video tersebut telah menimbulkan kemarahan para pengikut dan mereka yang bersimpati dengan Saddam selain penganut Sunah di Iraq dan dunia Arab.

– Reuters

No comments: