Special Sponsor

Saturday, October 27, 2007

Teknologi, jentera bakal ganti buruh asing

UMUM mengetahui kebanjiran pekerja asing boleh menimbulkan pelbagai masalah sosial dan jenayah serta menjejaskan peluang bekerja rakyat tempatan, walaupun kita mengakui kehadiran mereka turut membantu merancakkan pembangunan negara terutama dalam sektor pembuatan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan. Pihak majikan pula bagaikan pucuk dicita ulam mendatang kerana mendapat pekerja yang sedia dibayar gaji lebih rendah, selain tidak perlu mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Memang benar sesetengah anak muda enggan bekerja dalam sektor seperti pembinaan dan perladangan, tetapi tindakan majikan terlalu memilih warga asing, termasuk pendatang tanpa izin sehingga peluang anak tempatan yang berminat bekerja dalam sektor itu memang dikesali.

Oleh itu, kita amat mengalukan langkah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) menjalankan operasi penguatkuasaan terhadap lebih 125,000 majikan serta 283 syarikat membekal dan mengurus pekerja asing di seluruh negara mulai bulan depan, bagi memastikan pihak berkenaan mematuhi peraturan berkaitan pengambilan pekerja asing. Operasi tiga bulan bermula 1 November ini, akan membabitkan majikan di lima sektor utama iaitu perkhidmatan, pembuatan, pembinaan, perladangan dan pertanian. Lebih 1.7 juta pekerja asing daripada keseluruhan 1.91 juta bekerja dalam kelima-lima sektor ini, tidak termasuk pendatang tanpa izin yang digaji secara haram dan yang masuk dengan visa pelancong tetapi, bekerja di negara ini serta 320,000 lagi pembantu rumah. Pegawai JTK akan menjalankan pemeriksaan di setiap premis yang menggaji pekerja asing dengan penekanan diberi terhadap tiga akta utama perburuhan iaitu Akta Kerja 1955, Akta Pampasan Pekerja 1952 dan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990. Kita berharap majikan yang mengambil pekerja asing menerusi pembekal pekerja atau ejen penyumberan luar juga diperiksa bagi memastikan mereka tidak membuang atau menganaktirikan pekerja tempatan. Kita syorkan supaya pemantauan dan pemeriksaan dilakukan secara menyeluruh bagi memastikan majikan tidak mengambil kesempatan upah murah untuk menggaji rakyat asing, sehingga menjadi punca utama kebanjiran mereka di negara kita. Malah, kerajaan boleh mengehadkan sektor tertentu untuk pekerja asing berdasarkan kemahiran. Mungkin elok juga Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama Kementerian Keselamatan Dalam Negeri membuat kajian mengenai keperluan itu, termasuk mengelak daripada memberi kelulusan secara rambang bekalan tenaga asing yang dipohon majikan bagi memastikan hanya tenaga kerja yang benar-benar perlu saja diberi kelulusan masuk. Kementerian Pelancongan juga boleh menapis kemasukan warga asing yang menggunakan pas lawatan sosial, yang kerap berakhir menjadi pendatang tanpa izin selepas tamat tempoh.

Sektor pekerjaan tertentu di negara kita perlu dipermodenkan dengan pengenalan jentera dan teknologi automasi. Mekanisme pengambilan pekerja asing yang ketika ini melalui syarikat atau ejen perlu dihentikan kerana mudah dieksploitasi. Dalam hal ini Badan Pencegah Rasuah (BPR) boleh menyiasat jika ada kemungkinan salah laku rasuah dalam pengambilan pekerja asing. Selain itu, kerajaan perlu mengetatkan prosedur pemberian taraf penduduk tetap (PR) kepada warga asing yang dilihat terlalu longgar. Jika dibiarkan, bukan mustahil penduduk Malaysia satu hari nanti, tidak lagi berpaksi pada tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India tetapi akan disertai orang Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan sebagainya.

via Berita Harian Online

No comments: